Sunday 22 April 2012

Mujahadahlah...

Mujahadah ertinya “berperang” dengan diri sendiri untuk melakukan sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya inginkan kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan kebaikan, peringatan dan ketaatan.

Menentang hawa nafsu, samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Ini yang menyebabkan satu mujahadah selalu patah. Atau belum pun bermujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diri untuk “disakiti”.

Padahal mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Letih sedikit, tak boleh. Hendaknya… banyak rehat. Pahit sedikit sudah mengeluh. Pedih sekelumit sudah mengaduh.

Dunia hakikatnya adalah gelanggang mujahadah. Kita di sini untuk “menanam”. Di sana (akhirat) nanti barulah kita menuai. Musim bertanam memanglah payah – mencangkul, membaja, menjaga dari serangga dan bermacam-macam-macam lagi kesusahan. Bila menuai nanti baru terasa nikmat dan seronoknya.

Dunia diumpamakan tempat “membayar”. Di akhirat nanti tempat “bermain”. Pay now, play later. Bayar di sini, “berseronoklah” di sana. Apa sahaja di dunia ini menuntut bayaran. Pilihlah, sama ada untuk membayar dahulu, atau membayar kemudian. Tetapi sekiranya kita membayar dahulu, kejayaan di kemudian hari akan menjadi lebih manis dan bererti.

No comments:

Post a Comment