Mujahadah ertinya “berperang” dengan diri sendiri untuk melakukan
sesuatu yang sangat dibenci oleh hawa nafsu. Hawa nafsu hanya inginkan
kejahatan, kelalaian dan keseronokan. Sebaliknya, ia sangat bencikan
kebaikan, peringatan dan ketaatan.
Menentang hawa nafsu,
samalah dengan menentang diri sendiri. Terseksa. Ini yang menyebabkan
satu mujahadah selalu patah. Atau belum pun bermujahadah sudah mengaku kalah. Terlalu sayangkan diri untuk “disakiti”.
Padahal mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis. Letih sedikit, tak
boleh. Hendaknya… banyak rehat. Pahit sedikit sudah mengeluh. Pedih
sekelumit sudah mengaduh.
Dunia hakikatnya adalah gelanggang
mujahadah. Kita di sini untuk “menanam”. Di sana (akhirat) nanti barulah
kita menuai. Musim bertanam memanglah payah – mencangkul, membaja,
menjaga dari serangga dan bermacam-macam-macam lagi kesusahan. Bila
menuai nanti baru terasa nikmat dan seronoknya.
Dunia
diumpamakan tempat “membayar”. Di akhirat nanti tempat “bermain”. Pay
now, play later. Bayar di sini, “berseronoklah” di sana. Apa sahaja di
dunia ini menuntut bayaran. Pilihlah, sama ada untuk membayar dahulu,
atau membayar kemudian. Tetapi sekiranya kita membayar dahulu, kejayaan
di kemudian hari akan menjadi lebih manis dan bererti.